Mengurangkan kos operasi, meningkatkan kecekapan tenaga





dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan






BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Oktober. - Inchcape Brunei menandakan kejayaan pemasangan sistem PV Solar melalui inisiatif Panel Solar Inchcape Brunei dan ia menyerlahkan komitmen NBT Brunei terhadap perjalanan kemampanan jangka panjang dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab, menjadi syarikat automotif pertama di negara ini yang memasang panel solar atas bumbung di premis mereka.


Sehubungan dengan itu, pagi tadi Majlis elancaran Inisiatif Panel Suria Inchcape Brunei telah diadakan bertempat di Ruang Pameran Lexus Brunei.


Antara tetamu yang hadir pada majlis berkenaan, Presiden Inchcape Brunei, Awang Haji Ahmad bin Haji Husin; Penolong Pengarah, Bahagian Peralihan Tenaga di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri, Awang  Abdul Salam bin Haji Abdul Wahab; para pegawai kerajaan, para pemimpin kanan Inchcape Brunei dan Pasukan Kepimpinan Inchcape Brunei, serta para perwakilan media.


Sistem PV Solar telah dipasang di dua lokasi utama, iaitu di Ruang Pameran dan Pusat Servis Lexus di Gadong sebanyak 144 panel dan Ruang Pameran dan Pusat Servis Toyota di Beribi sebanyak 224 panel.


Pemasangan berkenaan akan menjana sejumlah besar tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan pelepasan karbon dioksida dengan anggaran 100 hingga 156 metrik tan.


Dengan penggunaan tenaga suria ke dalam operasi harian, inisiatif berkenaan juga dihasrat agar dapat mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan tenaga. Di samping matlamat alam sekitar, inisiatif berkenaan juga sejajar dengan matlamat kelestarian Negara Brunei Darussalam dan Wawasan Brunei 2035.


Komitmen NBT Brunei terhadap kelestarian bermula lebih sedekad yang lalu. Sejak itu, ia telah berada di barisan hadapan dalam inovasi hibrid, dengan mendahului sebagai Home of the Hybrid EVs dengan lebih 1,000 kenderaan hibrid terjual.


Rangkaian model hibridnya juga memberi pelepasan yang lebih rendah dan kecekapan bahan bakar yang lebih tinggi, menawarkan pelanggan cara yang lebih bijak dan lebih mampan untuk memandu.


Pelaburan solar dan kepimpinan dalam teknologi hibrid yang berjalan sejajar telah mencerminkan tekad untuk memacu inovasi, melindungi alam sekitar dan membentuk masa depan yang lebih bersih dan mampan.


Naib Presiden Inchcape Brunei, Awang Muhammad  Clovien bin Abdullah Timpoh dalam ucapannya menekankan bahawa mereka amat berbesar hati dan berbangga dengan kejayaan berkenaan.


Jelasnya, dalam keberhasilan menyepadukan tenaga suria ke dalam operasi mereka merupakan langkah penting bagi komitmen berterusan mereka untuk mempromosi dan mengamalkan kelestarian alam sekitar.


"Ini hanyalah sebahagian daripada perjalanan panjang, dan kami akan terus memimpin dengan memberikan contoh teladan dalam teknologi hijau, amalan mampan dan meningkatkan kesedaran serta penglibatan kami bersama kakitangan, pelanggan dan orang ramai," ujarnya lagi.


Close